77 pelajar terima sumbangan program Rindok Ati ke Sekolah 2019

SEMATAN: Seramai 77 orang pelajar daripada Kampung Temaga Melayu, Kampung Temaga Dayak, Kampung Temaga Cina dan Kampung Perigi telah menerima sumbangan bantuan untuk ke sekolah.
Seramai 44 pelajar sekolah rendah menerima wang sumbangan yang bernilai RM100 setiap seorang. Manakala 33 pelajar sekolah menengah pula menerima RM200.
Menurut, ADUN Opar Dato Ranum Mina, ini merupakan salah satu usaha ataupun galakan untuk memberi semangat kepada para pelajar sekaligus dapat memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek rohani emosi dan jasmani.
Beliau menambah, anak-anak perlu bijak melakar masa depan serta jangan ada sikap malu untuk mencuba dan mencipta nama di samping dorongan tanpa henti daripada ibu bapa.
Program Rindok Ati Ke Sekolah 2019 merupakan program yang di anjurkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) buat julung kalinya yang diadakan di Dewan Sinar Sri Jamilah SMK Sematan dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu dan Pejabat Pendidikan Daerah Lundu.|Program ini juga akan dijadikan sebagai program tahunan di mana ianya akan turut diadakan di daerah daerah lain mengikut jenis projek yang dilakukan di kawasan tersebut di bawah Syarikat PELITA ataupun anak syarikatnya MAGNA FOCUS SDN BHD.
Selain itu, “RINDOK ATI KE SEKOLAH 2019” adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang bertujuan untuk membantu persediaan persekolahan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan luar bandar.
Hadir sama, Saiful Bahari, Pengurus Kanan (Pegawai Kanan Hal Ehwal Korporat) PELITA.