Perpindahan penduduk Seberang Hilir bermula tahun depan

KUCHING: Perpindahan penduduk dari kawasan perkampungan Seberang Hilir ke Darul Hana dijangka bermula tahun depan, sebaik sahaja fasa pertama pembinaan perumahan baharu tersebut siap menjelang suku pertama tahun 2020.

Menurut Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, peringkat pertama perpindahan tersebut akan melibatkan seramai 564 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga buah kampung iaitu Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo.

Katanya, pembinaan fasa pertama perumahan Darul Hana itu kini sedang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, yang terletak berhampiran Masjid Darul Hana dan sekitar Jalan Tun Salahuddin.

“Pembinaan rumah fasa pertama ini sedang rancak dijalankan yang merangkumi rumah pelbagai bentuk iaitu rumah sebuah, rumah dua tingkat, rumah berkembar dan rumah teres.

“Projek ini dijangkakan siap pada suku kedua tahun 2020, dan waktu itu pemindahan pertama masyarakat kampung ke kawasan baharu ini akan bermula,” katanya pada sidang media sempena taklimat mengenai projek pembangunan Darul Hana di Masjid Darul Hana, Petra Jaya dekat sini hari ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata perpindahan keseluruhan penduduk dari perkampungan Seberang Hilir ke kawasan perumahan baharu Darul Hana adalah membabitkan kira-kira 2,640 KIR dari 13 buah kampung, iaitu dari Kampung Boyan sehingga ke Kampung Bintawa Batu.

Beliau menambah, jumlah tersebut adalah tidak merangkumi keluarga tambahan, yang dianggarkan dua kali ganda daripada jumlah KIR tersebut.

Bagaimanapun, katanya untuk keluarga tambahan terbabit, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan perumahan untuk mereka namun ia akan dilaksanakan selepas kemudahan perumahan untuk KIR siap sepenuhnya.

“Beberapa buah tempat telahpun dikenal pasti untuk penempatan baharu generasi kedua ini, yang antaranya di Sungai Bedaun,” katanya.

Menjelas mengenai projek pembangunan Darul Hana yang dilaksanakan sejak tahun 2011, Dr. Abdul Rahman berkata ia dimulakan dengan pembinaan Masjid Darul Hana, dan kemudian disusuli dengan pembinaan perumahan.

Katanya sebaik sahaja pemindahan penduduk dari perkampungan Seberang Hilir selesai, maka tapak perkampungan asal tersebut akan dibangunkan sebagai Bandar Baharu Darul Hana.

Menurut beliau, antara elemen pembangunan Bandar Baharu Darul Hana adalah prasarana pelancongan seperti Muzium Warisan Darul Hana, yang menempatkan artifak serta sejarah kawasan tersebut.

Selain itu, katanya kawasan tersebut yang dijangka mempunyai keindahan dari segi landskapnya juga akan dilengkapi dengan kemudahan untuk perniagaan dan rekreasi.

“Secara amnya, kita hendak membangunkan tempat ini sebagai sebuah bandar baharu dan pada masa sama menjadikannya sebagai kawasan tarikan pelancong di Kuching,” katanya.