Fasa satu projek perumahan Kemuyang dijangka siap 2020

SIBU: Sebanyak 86 daripada 110 unit rumah mampu milik yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk fasa pertama Projek Pembangunan Kemuyang di sini, dijangka siap seawal 2020.

Menteri Muda Perumahan Dr Annuar Rapa’ee berkata, kesemua rumah berkenaan dibina di blok 12 menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Beliau juga berkata, daripada jumlah itu, 58 rumah adalah untuk keluarga mangsa kebakaran di Kampung Datu/Kampung Hilir.

Katanya lagi, kesemua 110 unit adalah ‘single storey detached’ di mana dengan menggunakan teknologi IBS, sebuah rumah boleh disiapkan dalam tempoh 21 hari.

“Rumah ini akan dibina di dua blok iaitu blok 12 dan 13.

“Kedua-duanya (projek) telah bermula di mana blok 12 menempatkan 110 unit rumah di bawah HDC, manakala 76 unit rumah di blok 13 yang dibangunkan Land Consolidation and Development Authority (LCDA).

“Tetapi, daripada 110 unit dari HDC, 58 daripadanya adalah untuk keluarga kelamin mangsa kebakaran Kampung Datu lama,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke rumah contoh di tapak Projek Pembangunan Kemuyang, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Ekesekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak Mohamad Asman Ahmad dan Pengurus Kanan Pelita Holding Sdn Bhd.

Beliau juga berkata, walaupun fasa pertama skim perumahan mampu milik berkenaan adalah untuk keluarga kelamin mangsa kebakaran Kampung Datu lama/Kampung Hilir, namun keseluruhan projek itu adalah untuk menampung keperluan perumahan keluarga kelamin di Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nangka dan Kampung Bandong.

“Manakala, baki daripada 110 unit itu saya tidak dapat mendedahkan apa-apa buat masa ini tetapi ia memang untuk pembangunan semula Kampung Datu lama yang akan diumumkan kemudian oleh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg),” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa terdapat 813 lot tersedia di Kemuyang yang berkeluasan 300 ekar.

Sementara itu, semasa sidang akhbar di Miri pada hari Isnin bersempena pelancaran sebuah buku yang memperincikan 65 inisiatif yang dijalankan sejak dia mengambil alih jawatan Ketua Menteri, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak merancang untuk membina 2,500 rumah mampu milik yang berharga antara RM90,000 dan RM150,000 sebuah di Kuching  Sibu, Bintulu dan Miri.

Dr Annuar dalam sidang media itu lagi memberitahu, sejumlah 61 rumah musnah dalam kebakaran pada 20 Jun 2013 yang menjejaskan 143 keluarga.

Bagaimanapun setakat ini, kerajaan negeri telah membina 36 rumah untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Datu Baru.

“Selain itu, daripada 39 unit rumah di bawah skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), 15 sudah siap manakala 15 lagi hampir siap, manakala kerja pembinaan untuk sembilan lagi akan bermula bulan depan.

“Oleh itu, jumlah rumah yang terdiri daripada 36 unit (di Kampung Datu Baru), 39 PPRT dan 58 unit di Kemuyang adalah 133 unit, sedangkan rumah-rumah yang terbakar sebelum ini adalah 61 lot.

“Oleh itu, tidak ada masalah sama sekali kerana kami telah menyediakan (perumahan) kepada semua (keluarga terjejas),” katanya.

Menurut Dr Annuar, rumah-rumah PPRT disediakan secara percuma, manakala rumah-rumah di Kampung Datu Baru (36 unit) telah diberi subsidi oleh kerajaan negeri kerana mereka hanya perlu membayar kos pembangunan infrastruktur yang sama dengan 58 unit di Kemuyang.