PELITA sedia peralatan galak masyarakat di Beladin terlibat dalam perniagaan

KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) menyediakan peralatan barangan praktikal untuk menggalakkan masyarakat di Beladin melibatkan diri dalam bidang perniagaan.  

Menurut Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat PELITA Saiful Bahari Amra Ramly, Beladin merupakan sebuah kawasan yang terkenal sebagai perkampungan nelayan yang aktif.

“Sebagai sebuah perkampungan nelayan yang aktif, sesungguhnya persediaan peralatan ini amat berguna untuk stok tangkapan hasil laut yang segar.

“Adalah menjadi harapan PELITA juga, agar melalui sumbangan kecil ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat di sini,” katanya baru-baru ini.

Secara tidak langsung ia turut menggalakkan golongan belia berkecimpung secara aktif terutama dalam industri perikanan di kawasan luar bandar.

Pada masa yang sama, Pertubuhan Kebajikan Beladin, Betong diketuai Pengerusinya Ali Rosli dan empat ahli jawantankuasa telah menerima peralatan terpakai daripada Saiful yang diadakan di premis Think Big Training, Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Peralatan yang didermakan termasuk ‘Commercial Chillers’, ‘Freezers’, ‘Mincing Machine’, ‘Meat Cutter’, ‘Supermarket Gondolas’ serta rak.

Ia juga katanya, merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) PELITA di kawasan tersebut.